Tahun 2020, merupakan tahun yang amat menggetirkan bagi seluruh dunia termasuk negara Malaysia.
Bagi warga media dan pekerja industri kewartawanan, tahun lalu juga merupakan tahun yang memberi cabaran dan pengalaman dalam melaksanakan kerja dalam situasi pandemik.
Sepanjang tahun lalu, Geramm berkesempatan bertukar pandangan serta berkongsi pengalaman menerusi penampilan dalam beberapa sesi forum online, antara lain anjuran International Federation of Journalists Asia Pasific (IFJ AP).
Susulan itu, kami telah secara rasmi bergabung sebagai rakan kongsi bagi IFJ AP and National Union of Journalists Malaysia (NUJM) dalam projek jangka panjang ke arah pengukuhan landskap media Malaysia.
Selain dari media tempatan, pendirian kami bersolidariti bersama portal online Malaysiakini susulan tindakan menghina mahkamah yang dikenakan ke atas ketua pengarang Steven Gan turut mendapat liputan Majalah Tempo dari Indonesia, dengan sokongan Aliansi Jurnalis Independen, serta portal Rappler dari Filipina yang diterajui ikon kewartawanan serantau, Maria Ressa.
Tidak dilupakan, usaha ke arah menyemarakkan semangat kebebasan media telah diteruskan melalui penyertaan dalam inisiatif “Freedom of Expression Cluster” serta pelancaran kempen-kempen media sosial bersama #kawangeramm dari Center for Independent Journalism.
Pandemik Covid-19 telah membuktikan peranan pemberita dan media dalam menyalurkan maklumat, sahih, terkini dan berkualiti kepada orang ramai khususnya dalam arena digital yang penuh dengan maklumat palsu, tidak diverifikasi dan tidak tepat.
Para wartawan, pemberita, jurugambar, juruvideo dan seluruh warga media merupakan antara mereka yang bekerja sepanjang tahun, terutamanya apabila jutaan warga diarah bekerja daripada rumah sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan sejak Mac.
Mereka juga sentiasa berada di barisan hadapan dalam melaporkan isu-isu yang timbul dalam pengurusan pandemik oleh kerajaan serta berita-berita mengenai hal-hal yang memberi kesan kepada rakyat sepanjang tahun.
Namun begitu, kerana kesan pandemik juga, ramai #kawangeramm yang telah terpaksa kehilangan kerja, dipotong gaji serta hilang sebahagian mata pencarian.
Dengan itu, Geramm mengharapkan agar pada tahun 2021, beberapa kempen dapat digerakkan bagi membantu pekerja industri media mendapat manfaat yang lebih baik.
1- Kami mahukan kempen membaca melanggan berita bagi mengembalikan tradisi kewartawanan baik dan membolehkan syarikat media dapat terus hidup. Sejak perjuangan zaman kemerdekaan, langganan suratkhabar dianggap sebagai sokongan sebuah perjuangan memastikan berita yang dibaca dan dihantar kepada rakyat sebagai instrumen dokongan demokrasi. Kini, sokongan yang sama boleh diterjemahkan secara online.
2- Kami menyeru pihak berkepentingan untuk mengadakan kursus kemahiran untuk melatih pekerja media sedia ada kekal relevan dalam industri. Sebagai contoh, pekerja media boleh dilatih untuk berkemahiran dalam penerbitan digital, peralatan digital serta kursus “multi-skilling” bagi membolehkan mereka meneruskan pekerjaan.
3- Dalam keadaan dunia digital yang penuh dengan maklumat tidak sahih dan tepat, harus dikuatkan kempen kebebasan maklumat dan bersuara yang diselenggara oleh pihak yang tepat dan bukannya mahu menyekat kebebasan sini. Di sini, kita dapat melihat kebolehan peranan sebuah Majlis Media Malaysia dalam menjayakan agenda bagi memastikan setiap rakyat mendapat maklumat yang tepat dan cakna dalam isu-isu penting.
4- Menyokong desakan untuk penubuhan Majlis Media Malaysia yang dianggotai oleh individu yang memahami dasar dan perjuangan kebebasan media dan industri media. Penubuhan majlis atau kawalan daripada mereka yang mahu mengawal maklumat adalah tidak tepat dan tidak mencapai aspirasi ini.
Diharap tahun 2021 dapat menjadi tahun yang baik untuk industri dan pekerja media di Malaysia. Kami Bersolidariti!