PERUTUSAN HARI KEBEBASAN AKHBAR DUNIA 2023

Keputusan Indeks Kebebasan Media Dunia oleh Reporters Without Borders (RSF) tahun lalu menunjukkan Malaysia telah naik enam anak tangga dari tahun sebelumnya dan menduduki tempat ke-113 dari 180 negara dalam skala kebebasan media. Ini menunjukkan adanya peningkatan dalam perlindungan kebebasan media di negara kita.

Namun, peningkatan kecil ini tidak bermakna kita harus berpuas hati. Cabaran warga media di alaf baru pasca pandemik ini memerlukan komitmen dan tekad daripada semua pemegang taruh dalam menobatkan nilai-nilai asas kebebasan media dan pentingnya peranan wartawan dalam meneruskan amanah yang dipikul. Sebagai sebuah negara demokrasi yang berkembang, Malaysia mengakui pentingnya kebebasan media dan hak kebebasan bersuara yang dilindungi oleh undang-undang.

Sebagai wartawan dan anggota masyarakat, kita perlu mengingatkan diri kita tentang tanggungjawab dan tugas kewartawanan. Wartawan harus bertanggungjawab dalam melaporkan berita dengan objektif, jujur dan tepat, serta menghormati privasi dan kehormatan individu. Sebagai masyarakat, kita juga perlu memainkan peranan kita dalam mempromosikan kebebasan media dengan memahami dan menilai sumber-sumber berita dengan kritikal.

Peranan Kerajaan Perpaduan ini juga lebih penting untuk mengembalikan kebebasan media yang lebih besar, pada masa masih terdapat isu-isu seperti undang-undang kawalan media yang terus diperdebatkan. Kita memerlukan komitmen yang lebih kukuh daripada kerajaan dan pihak berkuasa untuk memastikan kebebasan media yang lebih besar dan berkesan.

Cadangan penubuhan majlis media Malaysia yang diangkat kembali kerajaan sekarang dapat menjadi suatu langkah yang baik untuk mempromosikan dan melindungi kebebasan media. Majlis ini boleh memberikan suara kepada wartawan dan media tempatan, dan membantu mengurangkan tekanan dan pengawasan dari pihak berkuasa. Namun, ia harus mempunyai kredibiliti yang tinggi dan bersifat bebas daripada pengaruh politik atau komersial.

Masih juga terdapat fenomena penyebaran maklumat palsu atau disebut “fake news” yang boleh merosakkan imej dan maruah individu ataupun institusi, masyarakat perlu meneliti kredibiliti sumber berita sebelum menyebarkannya. Oleh itu, peranannya dalam mempromosikan kesedaran awam dan membentuk kritikal minda adalah penting bagi kejayaan melawan “fake news”.

Justeru, semua pihak perlu mengambil tindakan yang tepat untuk melindungi dan mempromosikan kebebasan media di Malaysia. Perlu ada usaha bersama antara pihak berkuasa, wartawan dan masyarakat dalam membina persekitaran yang kondusif untuk media bebas dan mandiri berkembang. Kita juga perlu memperkasakan lagi kredibiliti dan kualiti media tempatan untuk menjadi lebih efektif dalam memainkan peranan masing-masing.

Akhir sekali, kami daripada Geramm mengucapkan terima kasih kepada para wartawan dan media di Malaysia yang telah berjuang untuk memperjuangkan kebenaran dan memperjuangkan kebebasan media. Kita berharap agar kebebasan media di Malaysia terus diperjuangkan dan ditingkatkan pada masa hadapan.

Sekian, terima kasih.

Festina Veritatem, Defende Libertatem (Raikan kebenaran, pertahan kebebasan)